Wednesday, November 4, 2009

rapatkan saff mantapkan ukhwah

Rapatkan Saff
Mantapkan Ukhuwwah
Melandasi Etika
Memacu Gerakkerja


1. Kewajipan ternyata lebih banyak dari masa yang ada pada kita. Justeru itu, jangan lengah, alpa dan bersahaja. Sebaliknya tangkas, tuntas dan cergas.


2. Jangan buka terlalu luas ruang untuk berkhilaf kerana disana terlalu banyak sudut yang boleh kita bersama.


3. Padam secepat mungkin api fitnah yang semakin merebak dan membinasakan jamaah. Sebaliknya, segeralah nyalakan obor persaudaraan [ ukhuwwah fillah ] dan sematkan jiwa berjuang untuk menjulang panji perjuangan ke arah membina negara Toiyyibah [ sejahtera ] dan mengharapkan curahan Maghfirah [ keampunan ]


4. Peliharalah wadah perjuangan suci ini daripada panahan syaithan dan racun iblis agar ia tidak musnah binasa. Korbankanlah perasaan dan apa jua kepentingan diri dan dunia kita andai ia membuatkan jamaah terpelihara, lantaran pengorbanan adalah syarat kemenangan bagi perjuangan suci ini.


5. Mengorbankan tenaga, masa dan wang ringgit barangkali mudah bahkan jauh lebih mudah berbanding korban perasaan terutama saat berdepan keputusan yang tidak memihak kepada kemahuan dan keinginan kita. Sungguhpun demikian, mengorbankan perasaan untuk menerima keputusan mesyuarat [ syura ] sebagai contoh, adalah sebahagian dari ketaatan yang dituntut oleh syara' biar dikala sukar dan getir.


6. Suatu yang paling bernilai dan penting dalam jamaah kita ialah persaudaraan [ ukhuwwah fillah ] dikalangan kita. Ukhuwwah yang diperkaya dengan nilai mahabbah [ kasih sayang ] dan tasaamuh [ tolak ansur ] yang tinggi. Jauh dari bayangan hasad dengki, dendam dan khianat.


7. Seketika jamaah kita terpaksa mengharungi zon sukar. Badai yang mampu menghancurkan seluruh struktur utama jamaah, jika pemimpin dan anggota tidak benar - benar mempertahankannya dengan semangat cintakan Islam dan jamaahnya.


8. Jamaah yang benar dan suci ini mengundang dendam dan cemburu yang sungguh dahsyat dari musuh durjana. Inilah yang telah didedahkan oleh Allah swt di dalam kitab suciNya. Kelicikan mereka dengan bara dendam yang tidak kunjung padam terhadap cita - cita perjuangan Islam ini bisa sahaja membuatkan mereka berani dan nekad menyusup masuk, menyelinap dari celah saf pejuang - pejuang kita lalu membisikkan sejuta fitnah yang menjarakkan mereka malah mencetus sengketa.


9. Sejarah semalam memang masih membekas bahkan pedihnya masih terasa angkara panahan fitnah. Namun bukankah kita selalu dituntut agar berkorban demi perjuangan? lalu, lupakan lah sengketa lama dan padamkan lah api kebencian. Kita tautkan kembali ikatan ukhuwwah yang longgar akibat gegaran semasa melintasi zon sukar tersebut. Kini kita fokus tanggungjawab dan amanah perjuangan yang belum selesai ditunaikan. Mentari esok masih sedia menyinar. Terpulang kepada kita, apakah mahu terus melangkah atau kita masih tidak mahu mengalah.


10. Fikirkan masa depan perjuangan ini buat generasi akan datang. Janganlah kita rosakkan segalanya kerana mengidam sebuah kepuasan yang belum pasti. Hulurkan tangan kalian, kita bersilang menderap langkah tanpa menoleh lagi mengenang tragedi silam demi masa depan Islam yang gemilang. Ayuh , kita hadapi musuh tanpa ragu !

sumber>dppp

2 comments: