Wednesday, January 21, 2009

Bagaimana dengan hal IKHLAS?

Assalamu’alaikum wbt

Teringat persoalan berkenaan ikhlas semasa d PPT, ustazah Nah menyimpulkan ikhlas itu memang kita tidak nampak juga tidak terlintas di hati apatah lagi untuk ditutur di lidah. Jika sebut ikhlas itu contohnya, 'aku ikhlas' pun belum tentu ikhlasnya lagi. Mampukah kita? Allahu ta’ala ’alam.

Di dalam sebuah hadis yang agak panjang, Rasulullah SAW menceritakan dengan mafhumnya:

"manusia pertama yang akan disoal pada hari qiamat adalah tiga golongan. Golongan pertama ialah orang yang telah dikurniakan oleh Allah ilmu pengetahuan. Pada waktu tersebut Allah SWT akan bertanya, 'apakah yang kamu lakukan dengan ilmu yang kamu miliki? Lalu ia menjawab, wahai Tuhanku, dengan ilmu tersebut hamba bangun di tengah malam (solat tahajjud) dan hamba menyampaikannya kepada orang ramai diwaktu siang hari (kepada mereka yang memerlukan).

Tuhan berfirman, 'engkau dusta!' Para malaikat pun berkata 'engkau dusta! Tujuan kamu hanyalah supaya kamu disebut oleh orang bahawa engkau adalah seorang alim.' Memang demikianlah kata-kata manusia terhadap dirinya.

Sementara golongan kedua pula ialah golongan yang telah dikurniakan oleh Allah dengan harta yang banyak. Maka Allah berfirman: "engkau telah dikurniakan dengan nikmat yang banyak, apakah yang telah kamu lakukan dengan nikmat tersebut? Dia menjawab, wahai Tuhanku, harta benda itu telah hamba sedekahkan pada waktu siang dan malam." Tuhan berfirman, "engkau dusta! Dan malaikat-malaikat pun berkata ’engkau dusta! Engkau bermaksud supaya orang berkata bahawa engkau seorang dermawan, memang demikianlah kata-kata manusia terhadap dirinya.

Golongan ketiga ialah golongan yang terbunuh di medan perang mempertahankan agama Allah, maka Tuhan bertanya kepadanya, 'apakah yang telah engkau kerjakan?' dia menjawab, 'wahai Tuhanku, Engkau memerintahkan hamba berjihad, maka hamba telah pergi berjihad dimedan perang dan hamba telah gugur dalam peperang tersebut. Tuhan berfirman, 'engkau dusta! Dan para malaikat pun berkata, 'engkau dusta! Engkau bermaksud supaya orang hanya berkata si fulan itu gagah berani, memang demikianlah kata-kata manusia terhadap dirinya.

Setelah berkata demikian, Nabi SAW bersabda: "wahai Abu Hurairah, mereka itulah makhluk yang mula-mula sekali akan menderita api neraka jahanam di hari qiamat. Didalam satu riwayat yang lain Umamah r.a. berkata bahawa telah datang seorang lelaki berjumpa Rasulullah SAW dan bertanya: 'apakah pendapat baginda mengenai seorang yang berperang dengan tujuan mencari pahala dan populariti, maka apakah yang akan diperolehinya kelak? Rasulullah menjawab: 'ia tidak mendapat apa-apa!’ Rasulullah mengulangi jawapan yang sama walaupun lelaki tersebut bertanya berulang-ulang sebanyak tiga kali.
Kemudian Rasulullah bersabda:

"sesungguhnya Allah azzawajalla tidak menerima sesuatu amalan melainkan setelah dilakukan secara ikhlas kepadaNya disamping menuntut keredhaanNya."

Firman Allah SWT dalam surah Shaad (82-83) maksudnya:

"iblis berkata, Demi Kemuliaan Engkau, aku akan menyesatkan mereka semua(manusia) melainkan dari kalangan hambaMu yang ikhlas."

Amalan yang tidak ikhlas boleh diibaratkan seperti jasad yang tidak bernyawa atau lebih mudah jika disebut sebagai bangkai.

Cuba kita andaikan jika seseorang yang menghadiahkan bangkai binatang kepada seorang raja sudah pasti akan dimurkai raja walaupun pada sangkaannya raja gembira apabila menerima hadiah tersebut. Begitulah perumpamaan ibadat seseorang yang dipersembahkan kepada Allah SWT sebagai Tuhan Robbul Jalil sedangkan keikhlasan yang menjadi roh kepada ibadat tersebut tidak disertakan. Maka ibadat tersebut ibarat bangkai yang sudah tidak bernyawa dan sudah pasti akan dimurkai Allah.

Jadi, sesusah manapun untuk mencapai keikhlasan yang benar diterima Allah kita perlu bersungguh dalam tiap kerjaan kita. Moga amalan ibadah kita diterima Allah SWT.


Allahu'alam
****

No comments:

Post a Comment